Masa yang dijanjikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva beberapa bulan lalu akhirnya tiba.
Sebelum ini, ramai penyokong JDT resah melihat pulangan gol penyerang Brazil itu. Ini kerana bilangan gol Jairo pada ketika itu tidak sebanyak gol yang dijaringkan Bergson da Silva dan Romel Morales.
Meskipun begitu, Jairo tidak merasa risau dengan perkara tersebut. Ini kerana beliau percaya pulangan gol yang dimahukan penyokong JDT terhadap dirinya akan muncul juga’
“Macam saya cakap, gol akan muncul dan saya tidak risau tentangnya. Saya akan terus bekerja keras untuk merealisasikannya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Apa yang dijanjikan Jairo akhirnya menjadi kenyataan. Bekas penyerang Hajduk Split itu meledakkan hatrik dalam aksi menentang Terengganu FC pada 31 Oktober lalu.
Meskipun masuk sebagai pemain gantian, itu bukan penghalang buat Jairo merobek gawang Syed Nasrulhaq Syed Bidin sebanyak tiga kali.
Hatrik beliau turut membantunya berkongsi kedudukan penjaring terbanyak liga dengan Bergson. Kedua-dua penyerang JDT itu masing-masing meledakkan 10 gol setakat ini.