Jalil Ramli: Kuching City Masih Ada Peluang
MakanBola
Kuching City FC

Legenda bola sepak Sarawak, Abdul Jalil Ramli percaya Kuching City masih berpeluang untuk mara ke final Piala FA 2025.

Keyakinan beliau itu dizahirkan berdasarkan prestasi semasa anak buah Aidil Sharin Sahak itu dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kuching City bukan saja berjaya mara ke separuh akhir Piala FA. Malah, The Cats juga kini menghuni kelompok tiga pasukan teratas Liga Super.

“Saya rasa setakat ni bukan sahaja dalam Piala FA, tapi dalam liga pun Kuching City pamerkan permainan yang baik.

“Kedudukan pun baik, dalam Top 3. Ini perkembangan positif untuk bola sepak di Sarawak,” katanya.

Jalil yang juga bekas jurulatih Sarawak turut melihat aksi separuh akhir pertama antara Kuching City dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai seimbang.

Hanya pengalaman yang menjadi pemisah – satu perkara yang dimanfaatkan Harimau Selatan sebagai bekalan tipis ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“Jika lihat daripada corak permainan, banyak peningkatan ditunjukkan. Pada perlawanan pertama, Kuching City boleh menyaingi posisi dan rentak JDT. Cuma kalau dari segi pengalaman, memang berpihak kepada JDT,” ujarnya.

Meskipun berdepan JDT di SSI, Jalil merasakan kelebihan memihak kepada Kuching City. Ini kerana anak buah Aidil boleh beraksi tanpa sebarang tekanan.

“Walaupun ramai kata susah untuk Kuching buat kejutan, tapi saya rasa mereka masih ada peluang.

“Kuching tak ada apa untuk dirugikan, semua tekanan terletak pada JDT. Mereka perlu menang, sedangkan Kuching boleh main bebas dan cuba ambil peluang,” tambahnya.

Kedua-dua pasukan bakal berentap dalam aksi separuh akhir kedua di SSI pada 30 November ini.