Jaguh Muay Thai Malaysia, Aliff Rakib berharap peminat berhenti membandingkan beliau dengan rakan senegara, Johan Ghazali.
Ini kerana pada hemat jaguh ONE Championship itu, kedua-duanya memiliki cara berbeza dari segi pertarungan.
Aliff dikenali kerana memiliki pelbagai taktik serangan berbeza di atas gelanggang. Ini termasuk kombinasi tendangan dan tumbukan yang memerangkap pihak lawan.
Johan yang mesra disapa Jojo pula memiliki refleks pantas, bijak mengatur serangan tepat dan berani tidak kira siapa lawannya.
Bagi Aliff, itu saja sudah menunjukkan bahawa dirinya dan Johan bukan orang yang sama seperti yang dikatakan peminat.
“Jojo lagu (gaya pertarungan) lain, saya lagu (gaya pertarungan) lain. Bukan orang yang sama,” katanya dalam satu hantaran di TikTok.
Malah, Aliff menyifatkan perjalanan beliau sehingga menyertai ONE Championship juga hampir sama dengan Johan.
Ini kerana sebelum nama mereka dikenali ramai, mereka berjuang berbekalkan sokongan keluarga dan mengeluarkan duit belanja sendiri.
Aliff kini sibuk membuat persiapan untuk pertarungan kategori strawweight dengan juara dunia kategori itu dari Thailand, Prajanchai PK Saenchai.
Aksi tersebut bakal diadakan pada Februari 2026. Sekiranya Aliff berjaya, beliau akan menjadi juara dunia ONE Championship pertama dari Malaysia.
Johan pula akan membuka kempen 2026 dengan menentang jaguh Amerika Syarikat, Sean Climaco pada 24 Januari ini.