Jangan Hukum Malaysia Sebelum CAS Buat Keputusan
MakanBola
FA Malaysia

Kebelakangan ini muncul kembali dakwaan yang cuba mengaitkan kes 7 pemain warisan dengan tuduhan penipuan dokumen dan pemalsuan identiti. Tuduhan seperti ini terus digunakan oleh sesetengah pihak untuk menyerang kerajaan dan FAM seolah-olah kes ini sudah diputuskan dan semua pihak terbukti bersalah. Hakikatnya, perkara tersebut masih dalam proses ke CAS dan belum ada apa-apa keputusan muktamad.

FAM sendiri telah menjelaskan bahawa isu ini berpunca daripada kesilapan teknikal dan pentadbiran. Penjelasan ini bukan dibuat sekadar untuk menutup kelemahan, tetapi kerana siasatan dalaman dan penelitian awal menunjukkan bahawa kekeliruan dokumen berlaku akibat proses pengesahan yang rumit, melibatkan banyak jabatan dan tidak semuanya berada di bawah kawalan FAM. FIFA sendiri pada awalnya turut memproses dokumen-dokumen berkenaan dan mengesahkan pemain sebelum timbul sebarang isu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution juga telah mengesahkan di Parlimen bahawa 7 pemain berkenaan adalah warganegara Malaysia yang sah. Kenyataan ini dibuat secara terbuka, direkod dalam hansard, dan merupakan pengesahan rasmi kerajaan bahawa status kewarganegaraan mereka tidak dipertikai. Ini menekankan dengan jelas bahawa 7 pemain berkenaan adalah rakyat Malaysia yang sah dan menolak dakwaan liar bahawa pemain tersebut bukan warganegara atau menerima dokumen secara tidak sah.

Perlu ditegaskan bahawa kes ini masih berjalan dan FAM bakal membawa rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan CAS kerana masih menunggu dokumen penuh daripada FIFA. Ini ialah proses biasa dalam dunia sukan antarabangsa apabila berlaku ketidakselarasan fakta atau interpretasi peraturan. Selagi CAS belum membuat keputusan, semua dakwaan dan tuduhan tidak boleh dianggap sebagai kebenaran mutlak. Tidak adil untuk menghukum mana-mana pihak sebelum proses pengadilan CAS selesai.

Dalam keadaan ini, timbul persoalan mengapa segelintir rakyat Malaysia begitu tergesa-gesa menggunakan isu ini untuk memburukkan kerajaan dan FAM. Banyak komen serta penulisan yang muncul bukan berniat untuk mencari kebenaran, tetapi untuk menimbulkan persepsi negatif dan menunggang sentimen awam demi agenda tertentu. Ada yang sekadar mahu tumpang populariti isu ini dengan menulis artikel sensasi walaupun faktanya masih belum disahkan oleh mana-mana badan rasmi.

Lebih membimbangkan, sesetengah pihak bertindak seolah-olah keputusan FIFA adalah muktamad dan tidak boleh dipertikai sedangkan badan induk itu sendiri tidak bebas daripada kontroversi. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, FIFA pernah dikritik kerana isu etika, governance dan keputusan unilateral sehingga mendapat tentangan daripada badan pemain profesional seperti FIFPRO. Regulator perjudian Switzerland, Gespa, telah memulakan siasatan awal terhadap sistem penjualan token berasaskan blockchain yang digunakan oleh FIFA untuk Piala Dunia 2026. Ini membuktikan bahawa FIFA juga boleh melakukan kesilapan dan tidak semua keputusannya tepat atau adil sejak kali pertama diumumkan dan sedang disiasat kerana disyaki melanggar undang-undang negara tertentu.

Oleh sebab itu, menuduh Malaysia melakukan pemalsuan dokumen sebelum proses CAS selesai merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab. Sistem sukan antarabangsa menyediakan ruang untuk semakan dan rayuan kerana badan seperti FIFA juga sedar bahawa keputusan awal boleh mengandungi ketidaktepatan atau kekeliruan teknikal. FAM berhak menggunakan saluran yang tersedia dan rakyat Malaysia seharusnya menunggu sehingga proses tersebut selesai.

Apa yang lebih menyedihkan ialah bagaimana isu ini digunakan untuk menyerang imej negara sendiri sedangkan ia masih belum diputuskan di peringkat antarabangsa. Ketika beberapa negara memilih untuk mempertahankan maruah mereka sehingga keputusan akhir dikeluarkan, ada pula di Malaysia yang memilih untuk menambah luka dengan memburukkan negara sendiri sebelum apa-apa fakta dimuktamadkan.

Kes 7 pemain warisan ini wajar dinilai secara rasional, bukan emosional. FAM telah memberikan penjelasan, kerajaan telah mengesahkan status pemain, dan proses rayuan sedang berjalan. Maka, apa yang paling wajar ialah memberi ruang kepada proses pengadilan antarabangsa untuk menentukan hasilnya tanpa tekanan, spekulasi atau tuduhan yang tidak berasas.