“Jangan Lupa, Malaysia B-23 Juga Pasukan Berkualiti” – Jurulatih Thailand
MakanBola
FAT/FAM

Jurulatih Thailand, Thawatchai Damrong-Ongtrakul tetap menganggap Malaysia B-23 sebagai lawan merbahaya menjelang aksi separuh akhir Sukan SEA 2025.

Pandangan itu dibuat jurulatih berusia 51 tahun itu dengan mengambil kira rekod pertemuan silam kedua-dua pasukan.

Malaysia B-23 dan Thailand pernah bertembung dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 pada September lalu.

Anak buah Nafuzi Zain memberi tentangan sengit kepada anak buah Thawatchai sebelum tewas 2-1. Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terlepas peluang layak ke kejohanan berprestij di Asia itu.

Atas sebab itu, Thawatchai mahu Thailand berada pada tahap terbaik jika mahu menempah tiket final di hadapan penyokong mereka.

“Perlawanan menentang Malaysia bukan perlawanan mudah kerana kita perlu melihatnya satu persatu.

“Jangan lupa dengan kualiti (mereka) dan potensi Malaysia sebagai pasukan berkualiti tidak boleh dipandang enteng.

“Kita kena fokus kepada perlawanan separuh akhir terlebih dahulu. (Setelah itu, barulah kita boleh alihkan fokus kepada) pusingan akhir yang juga penting,” katanya.

Thailand berharap tidak menjadi mangsa kejutan Malaysia B-23 seperti yang dialami pada tahun 2022. Skuad Thailand yang ketika itu dibimbing Mano Polking tewas 2-1 kepada skuad negara.

Malaysia B-23 dan Thailand akan berentap di Stadium Rajamangala pada 15 Disember untuk merebut tiket final. Satu lagi tiket menjadi rebutan Vietnam dan Filipina.