Japan Open: Sze Fei-Izzuddin Ke Suku Akhir, Tundukkan Midorikawa-Yamashita
UltraSukan
BAC 2025

Beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mudah mengesahkan kemaraan ke suku akhir Japan Open 2025.

Sze Fei-Izzuddin mara selepas menyingkirkan wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa dan Kyohei Yamashita di pusingan kedua kejohanan.

Aksi ini cukup dinantikan juara India Open itu selepas mara ke pusingan kedua. Ini kerana Midorikawa-Yamashita bertanggungjawab menyingkirkan Sze Fei-Izzuddin di pusingan kedua Swiss Open.

Beregu negara memberi tentangan sengit sebelum terpaksa akur kepada beregu Jepun itu dengan keputusan 25-23, 15-21, 21-11. Justeru, aksi ini dilihat peluang Sze Fei-Izzuddin membalas dendam kepada Midorikawa-Yamashita.

Set pertama menyaksikan juara bertahan itu mendahului beregu Jepun itu pada kedudukan 11-7.

Midorikawa-Yamashita cuba mengejar dengan harapan dapat mengheret perlawanan ke deuce. Walau bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin kekal unggul sebelum menang dengan keputusan 21-19.

Set kedua pula menyaksikan juara China Open 2024 itu makin selesa mendahului pada kedudukan 11-4.

Kesilapan demi kesilapan terutama di jaring menyukarkan Midorikawa-Yamashita mengejar Sze Fei-Izzuddin. Meskipun begitu, mereka berjaya menyamakan kedudukan 16-16.

Sze Fei-Izzuddin tampil lebih garang sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-18.

Mereka akan menentang sama ada wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri atau wakil Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di peringkat suku akhir.