Beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani membuka kempen Japan Open 2025 dengan langkah kanan.
Sze Fei-Izzuddin mudah menewaskan wakil Kanada, Kevin Lee dan Ty Alexander Lindeman dalam aksi pusingan pertama kejohanan itu.
Selepas bergelar juara India Open pada Januari lalu, wakil negara itu tidak dapat menambah koleksi kejuaraan mereka untuk tahun 2025. Ini termasuk terkandas di peringkat suku akhir Indonesia Open dan Singapore Open.
Kini, selepas menerima ilmu baharu daripada penolong jurulatih skuad badminton profesional negara Ameer Zainuddin, Sze Fei-Izzuddin dilihat bersedia untuk bangkit di gelanggang.
Set pertama menyaksikan Lee-Lindeman berusaha memberi tentangan sengit kepada juara bertahan edisi 2024 itu.
Walau bagaimanapun, beberapa kesilapan yang dilakukan beregu ke-65 dunia itu membolehkan Sze Fei-Izzuddin mendahului pada kedudukan 11-9. Kelebihan itu terus dipertahankan sebelum mereka menang dengan keputusan 21-13.
Set kedua menyaksikan beregu Kanada itu cuba mempamerkan aksi permainan yang lebih baik dengan harapan dapat mengheret perlawanan ke set penentuan.
Mereka mendahului Sze Fei-Izzuddin pada kedudukan 11-7. Bekas juara China Open itu kemudiannya mengejar dan menyamakan kedudukan 12-12.
Sze Fei-Izzuddin kembali mendahului sebelum meraih keputusan 21-15 untuk memenangi set kedua.
Mereka akan bertemu sama ada wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita atau beregu Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh dan Wang Chi-Lin di pusingan kedua.