JDT Bakal Pinjamkan Juan Muniz?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan bakal meminjamkan khidmat perancang tengah, Juan Muniz ke pasukan lain.

Menjelang musim baharu nanti, skuad JDT yang dimiliki oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor telah membuat rombakan dalam barisan pemain dan staf kejurulatihan kelab.

Xisco Munoz telah dilantik untuk mengemudi pasukan juara Liga Super 11 kali ini selain ketibaan beberapa muka baharu yang menyertai JDT seperti Ibrahim Manusi, Nacho Mendez, Teto dan ramai lagi.

Kehadiran pemain baharu ini telah membuatkan persaingan lebih sengit dalam pasukan JDT ketika ini dan menyaksikan ada juga tonggak yang terpaksa membawa haluan baharu.

Laporan terkini daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menyebut bahawa perancang tengah, Juan Muniz bakal dilepaskan secara pinjaman ke pasukan lain.

”Juan Muniz, pemain terbaik final Piala FA 2024/25 beri bayangan tinggalkan JDT dan difahamkan bakal ‘on loan’ ke pasukan lain,” lapor beliau.

“Nombor keramat Muniz 20 kini milik Teto Martin,” tambah Zulhelmi di laman X.

Walau bagaimanapun, identiti kelab baharu tersebut tidak dinyatakan sama ada pasukan tempatan yang bersaing di Liga Malaysia atau pun di liga luar negara.

Nama Muniz merupakan menjadi tunjang utama JDT sejak tiba pada tahun 2021 dan merekodkan 12 jaringan serta 16 bantuan gol dalam 36 penampilan pada musim yang lalu.

Momen yang paling diingati pastinya adalah hatrik ketika di perlawanan akhir Piala FA ketika menewaskan Selangor 6-1 untuk mempertahankan kejuaraan di Stadium Nasional Bukit Jalil.