Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka bakal merekrut sekurang-kurangnya tiga muka baharu pada jendela perpindahan yang bakal dibuka Januari tahun hadapan.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong sebentar tadi.
Tunku Ismail mendedahkan bahawa ketiga-tiga pemain berkenaan telah pun memberikan persetujuan untuk menyertai JDT bagi memperkuatkan cabaran kelab itu dalam baki saingan yang melibatkan skuad Harimau Selatan itu.
“Buat masa ini, kita memang sudah ada tiga pemain sedia datang (ke JDT). Saya tak nak gantikan dengan sesiapa. Saya nak tambah.
“Saya akan keluarkan satu atau dua pemain selepas itu,” jelas Tunku Ismail dalam sesi soal jawab bersama penyokong yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers.
Buat masa ini, identiti pemain-pemain tersebut masih tidak diberitahu namun Tunku Ismail mendedahkan dua orang pemain adalah dari Brazil manakala seorang lagi adalah dari Portugal.
Keputusan JDT untuk merekrut tiga pemain baharu ini adalah bertujuan mengisi kekosongan yang ditinggalkan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan seperti Arif Aiman dan Ager Aketxe.
Kini JDT terpaksa beraksi tanpa pemain tengah menyerang dengan majoriti tonggak tengah mereka seperti Natxo Insa, Afiq Fazail dan Nacho Mendes lebih cenderung kepada permainan berorientasikan bertahan.