JDT Julang Piala FA 4 Kali Berturut-turut, Hampakan Sabah
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan quadruple Piala FA apabila membenam Sabah dengan keputusan 5-0.

Pasukan kendalian Xisco Munoz beraksi cukup cemerlang untuk menamatkan perjuangan Sang Badak pada pentas akhir di SNBJ.

Aksi final ini merupakan kali keenam JDT mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Selangor pada edisi lalu, manakala Sabah kali terakhir melangkah ke pentas final pada tahun 1998.

Babak pertama berlangsung begitu sengit dengan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan.

JDT terlebih dahulu di depan hasil tandukan cantik Jonathan Silva pada minit ke-8 yang terus menerjah jaring menewaskan Damien Lim.

Harimau Selatan menambah jaringan menerusi serangan balas pantas apabila rembatan tajam Manuel Hidalgo terkena kapten pasukan Sabah, Rawilson Batuil, sekali gus menghadiahkan gol kedua buat JDT.

Sabah berjaya membuka akaun jaringan menerusi rembatan kencang Ajdin Mujagic, namun gol tersebut dibatalkan selepas pengadil mengesan kekasaran ke atas pemain lawan sebelum jaringan dihasilkan.

Percubaan berbahaya Fergus Tierney pada minit ke-40 berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.

Aksi separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 3-0 memihak kepada JDT.

Bersambung babak kedua, Sabah tampak meningkatkan serangan bagi mencari gol pertama pasukan.

Sang Badak terpaksa akur beraksi dengan hanya 10 pemain selepas Miguel Cifuentes dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-50.

JDT kembali selesa di hadapan selepas Oscar Arribas menjaringkan gol keempat pasukan pada minit ke-64.

Sabah turut melakukan percubaan berbahaya melalui R. Dinesh, namun gagal menemui sasaran gawang JDT.

Memasuki minit ke-75, pasukan Harimau Selatan masih mendahului dengan empat gol.

JDT dilihat menguasai sepenuhnya 10 minit terakhir aksi dengan melancarkan pelbagai percubaan ke arah kubu Sang Badak.

Manuel Hidalgo menutup malam gemilang JDT dengan menjaringkan gol kelima, membawa pasukan itu meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Sang Badak.

Tambahan masa 3 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

JDT menjadi pasukan pertama mencipta quadruple Piala FA sepanjang kejohanan itu dipertandingkan sejak tahun 1990.