Meskipun kini mewakili Persija Jakarta, nama Johor Darul Ta’zim (JDT) terus kekal dalam ingatan orang besi Indonesia, Jordi Amat.
Ini terbukti apabila bekas bek tengah Swansea City itu amat menghargai tempoh bersama juara Liga Super 11 kali itu.
“Ia satu tempoh yang bagus berada di Malaysia bersama Johor (Darul Ta’zim),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Berdasarkan pengalamannya bersama Harimau Selatan, Amat percaya pasukan itu akan terus memburu trofi menjelang musim 2025/26.
“Saya tahu mereka akan terus memenangi (trofi), itu sudah pasti. Jadi, saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka. Saya ada ramai rakan di sana,” ujarnya.
Amat antara 11 pemain yang tidak dikekalkan JDT pada akhir musim 2024/25. Selain beliau, JDT turut melepaskan Jese Rodriguez, Alvaro Gonzalez, Jonathan Viera dan Roque Mesa.
Selepas dikaitkan dengan beberapa kelab terutama di Indonesia, Amat memilih menyertai Persija. Beliau menjadi sebahagian daripada tujuh pemain baharu yang dibawa jurulatih Brazil, Mauricio Souza.
Aksi pra-musim terbaru kelab itu menyaksikan mereka menewaskan Arema 3-0. Amat yang mengetuai benteng Persija turut memastikan mereka tidak dibolosi sepanjang perlawanan.