Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi melancarkan tiga rekaan jersi baharu untuk musim 2025–2026 dalam satu majlis meriah bersama penyokong di perkarangan Stadium Sultan Ibrahim, pada 3 Ogos 2025.
Pelancaran ini menandakan tahun ke-11 kerjasama berterusan antara JDT dan jenama sukan terkemuka, Nike, sejak musim 2014. Hubungan jangka panjang ini terus mencerminkan keserasian dan visi bersama dalam menghasilkan jersi eksklusif buat Harimau Selatan.
Untuk musim ini, JDT memperkenalkan jersi ‘Home’ berwarna biru dan merah yang ikonik, jersi ‘Away’ berwarna merah, serta jersi ‘Alternate’ dalam rona ‘hyper turquoise’ yang telah dilancarkan lebih awal pada 23 Julai lalu.
Rekaan jersi ‘Home’ mengekalkan identiti bendera Johor, dengan warna biru (blue void) sebagai asas dan jalur menegak merah (sport red) di bahagian hadapan serta belakang. Sementara itu, jersi ‘Away’ tampil lebih garang dengan rekaan serba merah, diserikan dengan kemasan biru di hujung lengan dan leher.
Bahagian belakang jersi turut memaparkan peta Negeri Johor bersama warna bendera negeri dan slogan ‘Move Your World’, selari dengan kempen global penaja utama, Toyota. Logo UMW Toyota Motor sebagai Rakan Mobiliti Rasmi JDT dipaparkan di bahagian hadapan jersi.
Antara elemen baharu musim ini ialah kehadiran bendera Johor dan Malaysia pada lengan jersi, melambangkan semangat kebangsaan dan misi kelab dalam mewakili negara ke pentas lebih tinggi seperti Liga Juara-Juara AFC Elite dan Kejuaraan Kelab ASEAN (Shopee Cup).
Majlis pelancaran turut menampilkan video berdurasi 1 minit 30 saat yang memperagakan jersi baharu, diiringi persembahan artis, pertunjukan laser, persembahan Boys of Straits serta aksi dron yang memukau ribuan penyokong yang hadir.
Rekaan jersi kali ini menampilkan teknologi Nike Dri-FIT dengan fabrik penyerap peluh dan panel beraliran udara, menjamin keselesaan maksimum sama ada di atas padang mahupun untuk kegunaan harian.
Jersi edisi 2025–2026 kini boleh didapati menerusi JDT Online Store dan JDT Direct Megastore dengan harga RM299 untuk jersi ‘Home’ dan ‘Away’, RM189 untuk ‘Alternate’ serta RM235 bagi versi ‘Home Youth’.