Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Super 2025-2026 dengan muncul juara trofi Piala Sumbangsih setelah menumpaskan pasukan Selangor pada Jumaat.
Saingan Liga Super 2025-2026 dibuka dengan perlawanan Piala Sumbangsih yang menemukan juara musim lalu, JDT dan Selangor namun kemenangan tetap memihak Harimau Selatan.
Beberapa muka baharu menjadi taruhan JDT antaranya Jon Irazabal, Jairo Da Silva dan Nacho Mendez tatkala Selangor pula menurunkan gandingan Chrigor beserta Willian Lira di jentera serangan.
Penyerang baharu JDT, Jairo Da Silva tidak menunggu lama bagu membuka akaun gol di pentas Liga Malaysia menerusi jaringan seawal minit pertama hasil tampanan dari lorongan Jonathan Silva.
Seakan tersentak, Gergasi Merah berusaha mengasak akan tetapi percubaan Chrigor Moraes di pertengahan aksi dapat diselamatkan oleh penjaga gol JDT dan kebangsaan, Syihan Hazmi.
Separuh masa pertama tamat, JDT 1-0.
Bersambung babak kedua, penguasaan bola masih menjadi milik tuan rumah dengan serangan bertubi-tubi yang diatur ke arah kubu Selangor yang dikemudi oleh Kalamullah Al-Hafiz.
Ketika minit ke-64, ketangkasan Kalamullah bagaimanapun tidak berjaya menafikan tandukan kencang oleh pertahanan tinggi lampai, Eddy Israfilov untuk jaringan kedua buat JDT.
Arif Aiman yang juga pemain terbaik Liga Malaysia musim lalu tak melepaskan peluang untuk mencatat nama selaku penjaring apabila meledak gol ke-3 JDT pada minit ke-73.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 3-0 sekaligus mengangkat JDT sebagai juara Piala Sumbangsih buat kali ke-10 dalam sejarah bola sepak Malaysia.