JDT Naik Tangga Kedua ACLE Timur Selepas Atasi Shanghai Shenhua
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) melonjak tinggi dalam kedudukan AFC Champions League Elite (ACLE) Asia Timur selepas berjaya jinakkan Shanghai Shenhua.

Aksi ke-4 ACLE menyaksikan JDT turun melayani kunjungan Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim membawa misi untuk meneruskan rentak cemerlang di pentas Asia selepas 3 perlawanan.

Misi tersebut berjaya direalisasikan apabila dua jaringan oleh Jonathan Silva dan satu gol daripada Oscar Arribas memberi kemenangan bergaya 3-1 buat JDT di hadapan lebih 20 ribu penonton.

Kemas kini semasa carta ACLE zon Timur menyaksikan JDT melonjak ke tangga kedua dengan mengumpul 7 mata hasil dua kemenangan, satu keputusan seri serta satu kekalahan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, JDT masih berkongsi 7 mata dengan Ulsan HD dan Sanfrecce Hiroshima di tangga kedua namun kelebihan jaringan lebih memihak skuad Harimau Selatan ini.

Selepas ini, JDT akan terbang ke Australia untuk perlawanan ACLE ke-5 berdepan Melbourne City pada 25 November ini sementara Shanghai Shenhua bertemu Vissel Kobe di laman sendiri.