Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berharap anak buahnya lebih bersabar tatkala mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya mengapa JDT hanya dapat menjaringkan satu gol pada babak kedua aksi pasukan itu dan Penang FC pada 11 September lalu.
JDT menjaringkan lima gol pada babak pertama menerusi Jairo da Silva, Arif Aiman Hanapi, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.
Orang besi JDT dari Sepanyol, Antonio Glauder menambah satu lagi gol buat tuan rumah pada babak kedua.
Munoz percaya sekiranya anak buahnya lebih bersabar ditambah dengan kualiti mereka, beliau percaya pasukan itu mampu menambah jaringan selepas ini.
“Kita hanya perlukan sedikit masa lagi untuk mencari keseimbangan,” katanya seperti dilaporkan TVS.
“Kadangkala kita mesti lebih bersabar dengan kualiti pemain, saya pasti kita dapat menambah baik dan menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan akan datang.”
Selepas ini, JDT mengalihkan fokus kepada aksi pertama Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Buriram United pada 16 September ini.