JDT ‘Sambar’ Joao Figueiredo
MakanBola
Official Johor

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan komitmen mereka dalam membina skuad mantap musim 2025-2026 apabila secara rasmi menyambar khidmat penyerang Harimau Malaya, Joao Figueiredo.

Figueiredo menyertai JDT selepas beraksi cemerlang bersama kelab Turki, Basaksehir selain turut cemerlang bersama skuad kebangsaan Malaysia ketika menewaskan Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bulan lalu.

“Joao Figueiredo membawa komitmen & kesungguhan beliau kepada Johor Darul Ta’zim FC,” umum JDT di laman Instagram Officialjohor.

Bersama Basaksehir, Figueiredo mencatatkan 102 penampilan dan mencetak 24 gol selain turut menyumbang 4 bantuan gol.

Apa yang menarik, Joao bukan sahaja boleh beraksi sebagai penyerang utama, tetapi juga di posisi sayap kiri. Fleksibiliti ini membolehkan jurulatih JDT, Xisco Munoz mengubah formasi dengan lebih dinamik mengikut keperluan perlawanan. Kepantasan larian dan kemahiran gelecek yang dimiliki Joao dijangka menjadi senjata tambahan untuk memecahkan benteng pertahanan lawan.

Langkah membawa masuk Figueiredo juga dilihat sebagai isyarat jelas JDT bersedia untuk kembali bersaing di peringkat Asia, terutamanya dalam saingan AFC Champions League. Pengalaman beliau di pelbagai liga Asia dan eropah dijangka memberi kelebihan besar dalam perlawanan berintensiti tinggi dan fizikal.

Musim ini menyaksikan JDT cukup agresif di jendela perpindahan dengan membawa masuk beberapa muka baharu berkualiti tinggi. Sebelum ini, Harimau Selatan sudah menandatangani pemain seperti Jon Irazabal, Antonio Glauder, Hector Hevel, Ibrahim Manusi, Jairo dan Moussa Sidibé.