JDT Sempat Dapatkan Bekas Bintang LaLiga, Ager Aketxe
MakanBola
Real Zaragoza

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merekrut khidmat bekas pemain LaLiga, Ager Aketxe sebelum jendela perpindahan Liga Malaysia ditutup.

Berita ini disahkan oleh kelab Sepanyol, Real Zaragoza yang mengumumkan persetujuan tercapai bersama pasukan JDT mengenai perpindahan perancang tengah kreatif iaitu Ager Aketxe.

”Real Zaragoza dan JDT telah mencapai persetujuan untuk perpindahan Ager Aketxe ke kelab Malaysia itu,” jelas kelab LaLiga 2 itu dalam satu kenyataan.

”Di Real Zaragoza, kami berterima kasih kepada Aketxe atas profesionalisme dan mengucapkan selamat maju jaya dalam fasa baharu kerjaya beliau,” tambah kelab itu lagi.

Untuk rekod, Ager Aketxe menyertai Real Zaragoza ketika di awal musim lalu dan menjadi watak penting di jentera tengah selepas melakukan 38 penampilan untuk kelab itu di pentas LaLiga2 dan Copa Del Ray.

Dalam 38 penampilan tersebut, Aketxe berjaya menjaringkan dua gol selain melakukan 3 bantuan jaringan bagi membantu Real Zaragoza berada di kedudukan ke-18 di LaLiga 2 musim yang lalu.

Aketxe yang kini berusia 31 tahun ini juga pernah beraksi di liga utama Sepanyol, LaLiga ketika menyarung jersi Athletic Bilbao sekitar musim 2012 hingga 2018 dan merekodkan 14 penampilan.

Kehadiran Aketxe dilihat tepat pada waktunya sebelum pintu perpindahan pemain ditutup pada Ahad serta melengkapkan senarai tonggak import yang bakal beraksi untuk JDT musim ini.

Dengan keberadaan Aketxe ini, persaingan untuk merebut posisi di bahagian tengah JDT bakal menjadi lebih menarik bersama pemain sedia ada antaranya Hector Hevel, Nacho Mendez dan Afiq Fazail.