Aksi seterusnya melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor adalah dalam saingan Shopee Cup apabila akan berdepan cabaran jaguh dari Kemboja dan Filipina.
JDT dan Selangor bakal meneruskan misi mengharumkan nama negara di pentas Asia Tenggara apabila dijadualkan turun dalam aksi minggu ke-3 Shopee Cup bermula Rabu ini.
Pendahulu kumpulan A, Selangor bertandang ke Filipina bagi aksi bertemu DH Cebu setelah mengumpul 4 mata hasil satu kemenangan dan sekali seri dalam dua perlawanan awal lalu.
Untuk rekod, Selangor pernah bertemu DH Cebu ketika aksi AFC Champions League 2 musim lalu yang berakhir dengan kemenangan dicatat Sang Gergasi Merah dalam kedua-dua pertemuan.
Manakala JDT yang memimpin carta kumpulan B pula bakal terbang ke Kemboja untuk menghadapi cabaran Svay Rieng selepas mencatatkan dua kemenangan sempurna sebelum ini.
Momentum cemerlang ini pastinya ingin diteruskan oleh anak didik Xisco Munoz untuk terus kekal di puncak kumpulan dan sebagai persediaan hadapi aksi AFC Champions League Elite minggu hadapan.
Aksi DH Cebu vs Selangor akan berlangsung pada Rabu, 3 Disember di Stadium Memorial Rizal, Manila dengan sepak mula perlawanan tepat jam 7 malam waktu Malaysia.
Perlawanan kumpulan B antara PKR Svay Rieng vs JDT pula akan dilangsungkan pada keesokan hari jam 8 malam waktu Malaysia di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh.