Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas SAM-100PLUS 2024.
Pemilihan pasukan gergasi selatan tanah air itu dibuat atas sumbangan cemerlang pasukan itu kepada bola sepak negara sepanjang tahun 2024.
Ini termasuk kejayaan menduduki tempat ketiga Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan mara ke pusingan 16 terbaik ACLE.
Selain itu, Harimau Selatan turut dipilih kerana menetapkan penanda aras baharu dalam beberapa aspek termasuk infrastruktur dan pembangunan.
Pengarah urusan JDT, Alistair Edwards hadir mewakili pasukan itu untuk menerima anugerah berkenaan.
Ini bukan kali pertama Harimau Selatan dipilih sebagai penerima Anugerah Khas SAM-100PLUS. Sebelum itu, JDT turut dipilih untuk anugerah sama pada 2015.
Ini selepas Harimau Selatan muncul pasukan Malaysia pertama bergelar juara Piala AFC musim tersebut.