Ranking Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Bangkok United di Asia menunjukkan jurang yang besar.
JDT bakal turun melayani kunjungan Bangkok United dalam aksi kedua peringkat kumpulan B Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup dalam misi untuk sekali lagi mengutip 3 mata.
Berdasarkan prestasi semasa, JDT ketika ini berada di tahap terbaik selepas skuad Harimau Selatan ini berpesta jaringan ketika menumpaskan Sabah 8-0 dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Walau bagaimanapun, cabaran Bangkok United tidak boleh dipandang mudah selepas pasukan bimbingan Totchtawan Sripan ini berjaya menewaskan kelab Malaysia, Selangor 4-2 pada minggu lalu.
Kemas kini laman Opta Analyst pada Rabu menyaksikan JDT kini berada di ranking ke-14 di Asia dan masih mengekalkan status selaku kelab nombor satu di Asia Tenggara buat masa ini.
Sementara Bangkok United pula menghuni kedudukan ke-57 di Asia, 43 anak tangga dibezakan dengan JDT namun masih kekal selaku kelab ke-3 terbaik ASEAN, di belakang Buriram United.
Aksi JDT vs Bangkok United akan berlangsung pada Khamis, 25 September di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 9 malam.