Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan perpisahan dengan jurulatih futsal, Juan Antonio Miguel Garcia.
Perkara ini diumumkan oleh pihak JDT Futsal menerusi satu hantaran di media sosial yang didahulukan dengan ucapan terima kasih di atas komitmen yang diberikan buat pasukan sejak 2023.
“JDT Futsal mengucapkan terima kasih buat ketua jurulatih, Juan Antonio Miguel Garcia di atas komitmen tak berbelah bahagi dan khidmat yang diberikan untuk pasukan sepanjang 3 musim,” ucap pihak kelab.
Pihak pengurusan JDT Futsal turut mengambil kesempatan yang sama untuk mendoakan kejayaan buat masa hadapan beliau setelah tidak lagi bersama kelab gergasi tanah air itu.
Untuk rekod, Juan Antonio dilantik selaku ketua jurulatih JDT Futsal bermula pada musim 2023 yang lalu dan telah berjaya membantu pasukan Harimau Selatan itu mengecapi 3 trofi di peringkat domestik.
Antara kejuaraan yang dimenangi oleh Juan Antonio bersama JDT adalah dua kali gelaran Liga Premier Futsal Malaysia dan satu Piala Malaysia Futsal yang diraih pada musim 2024 yang lalu.