Jean-Paul De Marigny Dilantik Jurulatih Baharu Sabah
MakanBola
Sabah FC

Jurulatih Australia, Jean-Paul de Marigny sah menggalas peranan sebagai jurulatih baharu Sabah FC.

Pelantikan bekas jurulatih Western Sydney Wanderers itu diumumkan pengurusan Sang Badak di platform rasmi kelab itu.

“Berkuat kuasa hari ini, Sabah FC mengumumkan pelantikan Jean-Paul de Marigny dari Australia sebagai Ketua Jurulatih pasukan The Rhinos bagi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.

“Mempunyai pengalaman luas dalam Liga Australia bersama Western Sydney Wanderers, Newcastle Jets dan Melbourne Victory yang muncul juara liga pada musim 2014/15 dan 2017/18, Jean-Paul juga pernah terlibat dengan pelbagai peringkat umur pasukan kebangsaan Australia, termasuk yang terbaru sebagai penolong jurulatih kepada Brad Maloney bagi skuad kebangsaan Australia Bawah 17 tahun.

“Selamat datang ke Sabah FC, Coach Jean-Paul (JP)!” kata pengurusan Sabah dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini dibuat beberapa jam sebelum Sang Badak turun untuk aksi pertama liga menentang KL City FC.

De Marigny memiliki pengalaman pernah bekerja dengan beberapa jurulatih antarabangsa seperti legenda Liverpool, Markus Babbel dan jurulatih Shanghai Port, Kevin Muscat.

Sentuhan jurulatih berusia 61 tahun itu dijangka ditagih untuk membantu Sabah mengulangi pencapaian tempat ketiga yang diraih pada musim lepas.