Jepun Bangkit Luar Biasa Tumbangkan Brazil
MakanBola
Japan FA

Jepun mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan menewaskan pasukan gergasi Amerika Selatan, Brazil dalam aksi persahabatan di Stadium Ajinomoto, Tokyo.

Aksi ini merupakan persiapan buat kedua-dua pasukan sebelum menghadapi saingan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung pada pertengahan tahun hadapan.

Penyerang Real Madrid, Vinicius Jr mengetuai jentera serangan Selecao. Bekas bintang Liverpool, Takumi Minamino pula menggalas tanggungjawab sebagai kapten Samurai Biru.

Brazil terpaksa menunggu sehingga minit ke-26 untuk membuka tirai jaringan menerusi bek kanan Vasco da Gama, Paulo Henrique.

Enam minit kemudian, giliran pemain sayap Arsenal, Gabriel Martinelli pula mencetak nama sebagai penjaring untuk pelawat.

Dua gol tersebut memastikan anak buah Carlo Ancelotti selesa mendahului tuan rumah sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Jepun yang dibimbing Hajime Moriyasu tampil lebih garang untuk menguji benteng Selecao diketuai Lucas Beraldo.

Minamino menceriakan penyokong Jepun dengan menyumbat gol pertama tuan rumah pada minit ke-52.

Ancelotti kemudiannya membuat beberapa pertukaran pemain untuk memperkemaskan rentak Brazil. Antara pemain yang dibawa masuk ialah Joelinton, Matheus Cunha dan Rodrygo.

Malangnya, gawang Brazil bocor lagi buat kali kedua pada minit ke-62. Kali ini, giliran pemain sayap Reims, Keito Nakamura pula mencetak nama sebagai penjaring.

Gol penyamaan itu menyuntik semangat anak buah Moriyasu memburu gol kemenangan. Hasilnya, penyerang Feyenoord, Ayase Ueda meledakkan gol kemenangan pada minit ke-71.

Brazil cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Pemain gantian Jepun, Junya Ito dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.0.

Kekalahan ini diharap tidak menjejaskan rentak Brazil menjelang dua aksi persahabatan seterusnya pada November ini. Mereka dijadual bertemu Senegal dan Tunisia dalam kalendar FIFA seterusnya.