Jepun atau Timur Tengah antara pilihan lokasi persiapan skuad futsal Malaysia bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia Futsal 2026.
Perkara ini dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail apabila ditanya perancangan anak buah Rakhpol Sainetngam untuk kejohanan tersebut.
Rosmadi melihat Jepun atau Timur Tengah sebagai pilihan lokasi ideal sebagai persiapan menghadapi Piala Asia Futsal 2026.
Ini kerana ini dilihat mampu memberi cabaran yang baik kepada skuad negara terutama dari segi cabaran fizikal pihak lawan.
“Antara negara yang kita rancang untuk latihan di luar negara ialah Jepun atau negara-negara Arab yang mempunyai saiz badan yang agak besar,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Rosmadi turut memaklumkan skuad negara berpotensi dipanggil pada Oktober ini. Ini bagi membolehkan mereka mengalihkan fokus kepada satu lagi tugasan besar iaitu Sukan SEA 2025 di Thailand.
Malaysia layak ke Piala Asia Futsal 2026 selepas muncul sebahagian daripada tujuh pasukan naib juara terbaik di peringkat kumpulan.