Jerman Jadi Mangsa Kejutan Pasukan Ke-52 Dunia
MakanBola
UEFA

Jerman menjadi mangsa kejutan pasukan ke-52 dunia, Slovakia dalam aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026.

Jerman berharap dapat bangkit selepas dikecewakan Perancis dalam aksi penentuan tempat ketiga Liga Negara-Negara UEFA (UNL). Slovakia pula memburu kemenangan di peringkat antarabangsa buat kali pertama sejak November 2024.

Die Mannschaft menurunkan barisan terkuat termasuk penyerang baru Newcastle United, Nick Woltemande. Peledak Middlesbrough, David Strelec mengetuai jentera serangan Sokoli.

Jerman cuba merobek gawang tuan rumah menerusi Woltemande, Serge Gnabry dan bintang baru Liverpool, Florian Wirtz tetapi gagal.

Sebaliknya, Slovakia meraih gol pendahuluan berharga menerusi bek kiri Atletico Madrid, David Hancko pada minit ke-42. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Jerman terus memberi tekanan kepada Sokoli untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi tidak berhasil.

Malangnya, Jerman dibolosi lagi buat kali kedua menerusi Strelec pada minit ke-55. Selepas mencipta bantuan gol pada babak pertama, beliau mencetak namanya sebagai penjaring.

Situasi ini mendorong pengendali Die Mannschaft, Julian Nagelsmann memasukkan Karim Adeyemi, Nadiem Amiri dan David Raum sebagai pemain gantian.

Jerman cuba bangkit tetapi Sokoli kental mempertahankan kelebihan 2-0 sehingga tamat perlawanan. Sofascore turut memilih Strelec sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.0.

Die Mannschaft berharap dapat bangkit bila menentang Ireland Utara pada 8 September. Sokoli pula berharap dapat meneruskan rentak kemenangan dengan menentang Luxembourg pada hari yang sama.