Seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap kanser tulang, Zafran, menerima kejutan istimewa apabila dihadiahkan jersi pemain Selangor FC, Faisal Halim, hasil inisiatif saudara Alieff Firdaus.
Zafran yang sebelum ini pernah bermain bola sepak di bawah Program Latihan Daerah (PLD) Tunku Ampuan Durah, Negeri Sembilan, kini menjalani rawatan selepas disahkan menghidap osteosarcoma sehingga terpaksa menjalani pemotongan sebelah kaki.
Alieff yang tersentuh dengan kisah Zafran selepas melihat videonya di TikTok mengambil keputusan untuk menghubungi kanak-kanak itu bagi memberikan sedikit kegembiraan dalam perjuangannya melawan penyakit.
“Saya tanya dia apa yang boleh buat dia gembira dan dia kata dia nak jersi Faisal Halim dan Safawi Rasid,” kongsi Alieff Firdaus di laman Facebook.
Alieff kemudian menghubungi rakannya, Shahrom Kalam yang kini bersama Selangor FC, untuk mendapatkan bantuan menguruskan jersi idaman Zafran daripada pemain skuad Merah Kuning tersebut.
Hasil usaha Shahrom, bukan sahaja jersi Faisal Halim berjaya diperoleh malah satu rakaman video ucapan khas daripada Faisal Halim sendiri turut disediakan sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Zafran.
Menurut Alieff, dia terdorong membantu kerana pengalaman peribadinya yang kehilangan adik tersayang, Suhada An-Nur, akibat penyakit yang sama ketika berusia hanya 12 tahun.
“Selagi saya boleh bantu buat mereka yang sakit ni gembira, saya rasa puas sebab saya sendiri pernah lihat dengan mata kepala bagaimana arwah adik saya sakit dulu,” jelasnya dalam hantaran yang turut menyentuh hati ramai netizen.
Alieff turut memaklumkan bahawa Zafran dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan minggu depan bagi membuang sel kanser yang kini telah merebak ke paru-parunya dan memohon orang ramai untuk sama-sama mendoakan agar Zafran terus kuat dan diberi kesembuhan.