Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jese Rodriguez akhirnya menamatkan kemarau gol selama 10 bulan.
Selepas menjaringkan gol dalam aksi Liga Super menentang Perak FC pada Februari lalu, bekas penyerang Real Madrid itu berdepan kesukaran mencari sentuhan gol.
Malah, penantian gol Rodriguez berterusan selepas kembali menyertai Las Palmas pada musim panas lalu.
Kini, penantian gol penyerang berusia 32 tahun itu berakhir dalam aksi LaLiga2 menentang Cultural Leonesa pada 20 Disember lalu.
Beliau bukan saja membantu Las Palmas meraih kemenangan 4-0 ke atas pelawat. Malah, Rodriguez turut meledakkan dua gol dalam aksi sama.
Enrique Clemente dan Manu Fuster masing-masing turut menyumbang gol buat Las Palmas. Rodriguez juga dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.3.
Menariknya, aksi ini turut menyaksikan pemain sasaran JDT beraksi untuk Cultural Leonesa iaitu Lucas Ribeiro. Ribeiro dilaporkan antara tiga bintang Brazil yang diintai Harimau Selatan.
Rodriguez bukan satu-satunya bekas bintang JDT yang beraksi untuk Las Palmas. Kapten, Jonathan Viera juga pernah beraksi untuk JDT pada musim lalu sebelum kembali menyertai kelab berkenaan.
Meskipun hanya sempat bersama JDT selama semusim, Rodriguez mengecapi trofi Liga Super dan Piala Malaysia pada musim lalu.