Dua bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jese Rodriguez dan Jonathan Viera kembali bersatu di bawah kelab yang sama.
Ini kerana Jese kembali menyertai kelab LaLiga2, UD Las Palmas. Perpindahan tersebut diumumkan pengurusan kelab itu di platform rasmi mereka.
“Jese Rodriguez Ruiz (02/26/1993, Las Palmas de Gran Canaria) mula menyarung jersi UD Las Palmas buat kali ketiga selepas persetujuan dicapai untuk mengikat pemain itu sehingga akhir musim ini.
“Selepas kali terakhir bersama kelab pada musim 2021/22, Jese meneruskan karier di Ankaragucu, Sampdoria, Coritiba dan JDT, meraih pengalaman antarabangsa di liga Eropah dan Amerika Selatan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Jese mengikut jejak Viera yang turut kembali menyertai Las Palmas baru-baru ini. Beliau juga turut memeterai kontrak setahun dengan kelab itu.
Jese menjadi pemain terbaru yang memilih kembali ke Sepanyol selepas tidak lagi bersama JDT. Selain Viera dan Jese, Alvaro Gonzalez turut memilih kembali ke negara itu.
Bek tengah berusia 35 tahun itu memilih menyertai kelab divisyen tiga Sepanyol, CD Tenerife.