Bekas pemain kebangsaan, Fazly Mazlan kembali menyertai Selangor FC untuk musim 2025/26.
Sebelum ini, khidmat pemain pertahanan berusia 31 tahun itu tidak dikekalkan Merah Kuning untuk kempen musim hadapan.
Susulan itu, Fazly kemudiannya dikaitkan dengan perpindahan ke pendatang baru Liga Super, Imigresen FC. Walau bagaimanapun, perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan.
Kini, bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kembali memperkuat benteng pasukan yang dibimbing Katsuhito Kinoshi.
“Pemain pertahanan kiri berpengalaman, Fazly Mazlan kembali menyarung jersi Merah Kuning bagi memperkuatkan barisan benteng pertahanan Selangor FC bagi musim 2025/26,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Fazly dijangka bersaing dengan Zikri Khalili dan Mohammad Abualnadi untuk mengisi slot bek kiri Selangor.
Selepas tamat jelajah pra-musim di Thailand, Selangor akan menentang Asia Warriors FC untuk aksi persahabatan pra-musim pada 27 Julai ini.