Jodoh Ruventhiran Bersama Selangor Berakhir
MakanBola
Selangor FC

Pemain pertahanan, V. Ruventhiran menjadi pemain terbaru yang meninggalkan Selangor FC.

Khidmat bek kiri berusia 23 tahun itu tidak dikekalkan pengurusan Selangor untuk kempen musim 2025/26. Perkara itu disahkan menerusi satu pengumuman di platform rasmi mereka.

“Daripada membangunkan bakatnya bersama Merah Kuning sehinggalah menyarungi jersi Harimau Malaya dalam Kejohanan AFF B-23 di Kemboja dan skuad senior kebangsaan di AFF Mitsubishi Electric Cup 2022.

“Perjalanan Ruven ialah kisah tentang kesungguhan, pertumbuhan dan kebanggaan. Tatkala beliau mengambil langkah seterusnya selepas Shah Alam, kami memberi tabik hormat kepada beliau.

“Terima kasih dan selamat berjaya untuk babak baharu anda, Ruven!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Ruventhiran telah mencatat 16 penampilan bersama Merah Kuning selepas kembali menyertai pasukan itu pada 2023.

Beliau membantu Selangor bergelar naib juara Liga Super dan juara MFL Challenge Cup musim 2024/25.

Bekas pemain pertahanan PJ City FC itu dijangka berkelana ke Pantai Timur. Ini kerana menurut wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran, Ruventhiran antara pemain yang menarik minat Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

Ruventhiran dan Azwan Aripin dijangka menjadi antara rekrut terawal Kelantan DN di bahagian pertahanan.