Johor Motorsports Racing (JMR) bakal mempertaruhkan enam pelumba hebat bagi menghadapi perlumbaan Suzuka 1000.
Menariknya, salah seorang pelumba JMR untuk perlumbaan tersebut ialah jaguh IndyCar dari New Zealand, Scott McLaughlin.
McLauglin bakal mengendalikan jentera Corvette Racing #2 bersama pelumba British, Alexander Sims dan Nicky Catsburg. Mereka membawa cabaran JMR dalam kategori Pro.
Jentera Corvette Racing #99 bakal dipandu Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim.
Mereka akan disertai bekas juara SMP F4 2018 dari Finland, Konsta Lappalainen. Trio ini akan membawa cabaran JMR dalam kategori Pro-Am.
Sebaik pengumuman ini disiarkan, McLaughlin teruja kerana dapat membawa cabaran JMR di bumi Jepun.
“Saya menghargai (peluang) yang diberi kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada ini (cabaran JMR untuk perlumbaan Suzuka 1000),” katanya di ruang komen Instagram.
Saingan Suzuka 1000 bakal berlangsung dari 12 hingga 14 September ini.