Johor Motorsports Racing Raih Kemenangan Ketiga Di Jepun
UltraSukan
Johor Motorsports Racing

Johor Motorsports Racing (JMR) meraih kemenangan ketiga dalam perlumbaan kedua GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Fuji, Jepun.

Selepas meraih tempat ketiga menerusi YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim dan Jordan Love dalam perlumbaan pertama, kini giliran YAM Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri ibni Sultan Ibrahim dan Ben Green pula merasa gelaran juara.

JMR memiliki kelebihan kerana jentera Corvette mereka menguasai petak pertama dan kedua dalam sesi kelayakan perlumbaan kedua GT World Challenge Asia.

Kelebihan itu pantas dimanfaatkan JMR sebaik perlumbaan bermula menerusi Ben Green. Kelebihan itu kemudiannya terus dipertahankan oleh Tunku Abdul Rahman.

Kelebihan yang dimiliki JMR kemudiannya hilang apabila kereta keselamatan memasuki litar. Ini susulan kemalangan membabitkan jentera yang dipandu pemandu China, Wang Zhongwei dan Rio.

Selepas kereta keselamatan meninggalkan litar, Tunku Abdul Rahman berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu sehingga ke garisan penamat.

Tunku Abu Bakar dan Love tidak bernasib baik apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-22. Ini selepas jentera Corvette JMR mereka dilanggar tatkala cuba mengekalkan kedudukan tempat ketiga.

Keputusan ini menyaksikan Tunku Abdul Rahman terus menghambat gandingan pelumba Origine Motorsports, Bob Yuan dan Leo Ye untuk kedudukan carta pemandu keseluruhan.

Baginda mengumpul 107 mata, empat mata di belakang Bob dan Leo. Walau bagaimanapun, kedudukan ini dijangka berubah kerana Origine Motorsports berdepan kemungkinan penalti lima saat.

Jika penalti itu dikenakan, Bob dan Leo dijangka jatuh ke tempat ketujuh. Ini dijangka membuka ruang buat Tunku Abdul Rahman kembali menerajui carta pemandu keseluruhan.

Selepas ini, saingan GT World Challenge Asia akan diteruskan di Litar Antarabangsa Okayama, Jepun. Pusingan kelima ini dijangka berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini.