Johor Motorsports Racing Raih Tempat Ketiga Di Jepun
UltraSukan
Johor Motorsports Racing

Johor Motorsports Racing (JMR) meneruskan kecemerlangan musim 2025 apabila meraih podium dalam perlumbaan terbaru GT World Challenge Asia.

Selepas meraih kemenangan kedua di Thailand, JMR dilihat semakin bernafsu untuk melakar kecemerlangan di bumi Jepun.

Gandingan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim dan Jordan Love meraih tempat ketiga dalam perlumbaan pertama di Litar Antarabangsa Fuji.

Tunku Abu Bakar dan Love terpaksa akur dengan kehebatan Origine Motorsports yang meraih tempat pertama dan kedua perlumbaan.

Bob Yuan dan Leo Ye muncul sebagai pemenang perlumbaan. Satu lagi gandingan Origine Motorsports iaitu Wei Lu dan Alessio Picariello pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Pendahulu kategori pemandu yang juga wakil JMR, YAM Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri ibni Sultan Ibrahim pula menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Keputusan ini menyaksikan Bob dan Leo merampas tampuk pendahulu pelumba keseluruhan dengan 93 mata. Tunku Abdul Rahman pula berada di tempat kedua dengan 79 mata.

JMR turut mendapat suntikan semangat dalam perlumbaan hari ini dengan kehadiran KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Tunku Abdul Rahman masih berpeluang merampas kembali tampuk pendahulu kategori pemandu keseluruhan. Ini kerana perlumbaan kedua GT World Challenge Asia bakal berlangsung pada 13 Julai.

JMR turut memiliki senjata rahsia apabila menduduki tempat pertama dan kedua kelayakan untuk perlumbaan kedua GT World Challenge Asia.