Jordan Mintah Sah Jadi Rakyat Malaysia
MakanBola
Kuching City FC

Penyokong Kuching City FC ceria apabila penyerang mereka, Jordan Mintah kini sah bergelar warga Malaysia.

Pengumuman status terbaru penyerang berusia 29 tahun itu dibuat Kuching City setiap platform rasmi kelab itu. Pengumuman ini turut menamatkan penantian penyokong tentang status naturalisasi Mintah.

“Jordan Mintah kini sebahagian daripada kita, rakyat Malaysia! Proses naturalisasi beliau telah selesai dan kini Jordan layak didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Sebuah langkah besar untuk beliau, dan juga berita gembira buat semua penyokong. Tahniah diucapkan kepada Jordan!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Status terbaru Mintah dijangka memberi suntikan semangat kepada pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak.

Ini kerana beliau boleh mendaftarkan bekas penyerang Terengganu FC itu sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ini turut membuka ruang kepada penambahan pemain import baru seandainya The Cats ingin menambah seorang lagi tonggak import.

Berita ini juga merupakan berita gembira buat pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Ini kerana kehadiran Mintah dapat menambah pilihan beliau di bahagian serangan.

Bisa bekas penyerang KL City FC itu dijangka ditagih Aidil menjelang aksi liga seterusnya menentang Negeri Sembilan FC yang berlangsung pada hari ini.