Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Obregon kembali memeriahkan saingan liga Colombia.
Ini selepas kelab Categoria Primera A, Aguilas Doradas mengesahkan perpindahan penyerang berusia 28 tahun itu. Obregon tiba bersama pemain pertahanan Venezuela, Delvin Alfonzo.
“Dua bintang menyertai keluarga The Golden Eagles. Delvin Alfonzo dan Jorge Obregon sudah tiba di sarang untuk mencapai kejayaan bersama The Golden Eagles,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini sekaligus menamatkan desas-desus tentang destinasi Obregon selepas meninggalkan Harimau Selatan.
Sebelum ini, bekas penyerang HNK Rijeka itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Rodrigo Holgado, America de Cali dan CD La Equidad.
Perpindahan ini menyaksikan pertembungan Obregon dengan penyerang Harimau Malaya itu kini menjadi nyata.
Sepanjang bersama JDT, Obregon membantu pasukan itu bergelar juara Liga Super dan Piala Malaysia. Beliau turut merekodkan 22 penampilan, tujuh gol dan dua bantuan gol.