Junior Sam Impi Gelaran Kasut Emas Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Penyerang baharu Terengganu FC, Junior Sam memiliki misi memburu gelaran Kasut Emas Liga Super musim 2025/26.

Hasrat itu dizahirkan penyerang Cameroon itu apabila ditanya tentang sasaran beliau bersama Peteh.

Pemilik nama sebenar Junior Stephen Ngong Sam itu percaya beliau mampu merealisasikan misi tersebut.

“Sasaran peribadi saya ialah menjadi penjaring terbanyak liga dan penjaring terbanyak pasukan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Sam dijangka berdepan tugas sukar merebut gelaran tersebut. Ini kerana gelaran tersebut dimenangi penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva pada musim lalu.

Bergson mengungguli Kasut Emas musim 2024/25 dengan 32 gol. Beliau jauh meninggalkan kapten KL City FC, Paulo Josue yang menyumbat 17 gol.

Sam antara empat tonggak import baharu Peteh bagi menghadapi musim 2025/26. Selain beliau, Terengganu turut merekrut Gabriel Silva, Careca dan Yann Mabella.

Peteh turut mengekalkan khidmat jeneral tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov bagi menghadapi kempen musim tersebut.