Pengendali Cape Verde, Bubista dipilih sebagai Jurulatih Terbaik Afrika 2025.
Beliau menerima anugerah tersebut dalam Anugerah Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) 2025 yang diadakan di Universiti Politeknik Mohammed VI (UM6P) di Rabat, Maghribi.
Pemilik nama sebenar Pedro Leitão Brito itu dipilih kerana membawa Cape Verde layak ke Piala Dunia buat julung kalinya.
Cape Verde layak ke Piala Dunia 2026 selepas mengungguli Kumpulan D dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Zon Afrika.
Negara itu mengatasi cabaran pasukan gergasi Afrika, Cameroon dengan meraih 23 mata. Cameroon pula terpaksa mengharungi pusingan playoff dengan menduduki tempat kedua menerusi 19 mata.
Peminat Harimau Malaya mengenali Bubista kerana beliau membimbing pasukan itu menentang skuad negara pada Jun lalu.
Aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu bertujuan membantu persiapan kedua-dua pasukan mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.
Aksi tersebut menyaksikan Harimau Malaya mengikat Cape Verde 1-1. Selepas mendahului menerusi Sidney Lopes Cabral, Cape Verde kecewa apabila Paulo Josue menyumbat gol penyamaan buat skuad negara.
Anugerah sama turut menyaksikan kapten Maghribi, Achraf Hakimi dipilih Pemain Terbaik Afrika 2025.
Rakan senegara, Yassine Bounou dan Ghizlane Chebbak pula masing-masing memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik Afrika dan Pemain Wanita Terbaik Afrika.