Indra Sjafri sah tidak lagi memikul tugas sebagai jurulatih Indonesia Bawah 23 Tahun (B-23).
Ini selepas Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan bahawa badan induk itu menamatkan kerjasama dengan jurulatih berusia 62 tahun itu.
Exco PSSI merangkap Ketua Badan Tim Nasional, Sumardji memaklumkan ini sebahagian daripada proses penilaian menyeluruh berhubung kegagalan skuad negara itu di Sukan SEA 2025.
“Tentu kami sudah melaporkan pelaksanaan kepada Exco dan kepada ketum (ketua umum), wakil ketua umum, dan persatuan secara keseluruhan.
“Setelah bersama melakukan penilaian, kami sepakat pertama adalah pengakhiran hubungan kerja coach Indra Sjafri dengan PSSI,” katanya.
Sumardji turut memaklumkan Indra mengambil sikap terbuka atas keputusan yang dibuat. Malah, beliau turut menerima keputusan PSSI dibuat atas dasar profesional.
Sumardji turut menyatakan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai pengurus skuad kebangsaan Indonesia baik di peringkat senior mahupun peringkat pelbagai umur.
“Saya akan menyerahkan tugas dan tanggungjawab saya sebagai pengurus timnas, baik senior dan juga kelompok umur termasuk pengurus timnas Sukan SEA selanjutnya,” ujarnya.
Indonesia gagal layak ke separuh akhir Sukan SEA selepas tidak menjadi naib juara kumpulan terbaik. Ini kali pertama Indonesia gagal layak sejak edisi 2009.
Selain jurulatih Indonesia B-23, Indra juga tidak lagi menjadi sebahagian daripada pasukan Pengarah Teknikal PSSI, Alexander Zwiers.