Nama Malaysia menjadi sebutan pengendali Iraq, Graham Arnold saat meluahkan ketidakpuasan hati setelah negara Timur Tengah itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
Iraq antara 6 buah negara yang bersaing di pusingan ke-4 Kelayakan Piala Dunia bermula 8 Oktober lalu selain Qatar, UAE, Oman, Arab Saudi dan juga wakil ASEAN, Indonesia.
Aksi yang diadakan di Jeddah dan Doha itu bagaimanapun mendapat kritikan pengendali Iraq, Graham Arnold setelah Lions of Mesopotamia itu gagal memperoleh slot automatik ke Piala Dunia 2026.
Iraq mengakhiri aksi di tangga kedua dengan meraih 4 mata bersama Arab Saudi namun kelebihan jaringan gol memihak pasukan tuan rumah itu dan layak selaku juara kumpulan B.
Kritikan Arnold itu diluahkan selepas aksi menentang Arab Saudi dengan jurulatih kelahiran Australia itu berasa hairan melihat sistem pusingan kelayakan yang diadakan di negara peserta.
Menurut beliau, pasukan tuan rumah kelayakan ini pastinya mempunyai kelebihan besar apabila bermain di gelanggang sendiri dan mendapat tempoh rehat yang lebih berbanding yang lain.
“Saya tidak pernah lagi melihat sistem seperti ini. Ketika saya membimbing Australia, kami diberitahu bahawa pusingan play-off tidak akan diadakan di negara peserta mana pun.”
“Tetapi kini, dua negara layak kerana miliki kelebihan beraksi di laman sendiri, disokong penyokong sendiri dan mendapat 6 hari rehat,” luah Graham Arnold dengan nada yang kecewa dipetik daripada Arriyadiyah.
“Tuan rumah mendapat 6 hari rehat, manakala kami hanya 3 (hari). Perkara ini turut dibangkitkan oleh pengendali Oman, Carlos Queiroz.”
Apa yang membuatkan Graham Arnold hampa adalah apabila diberitahu aksi pusingan ini bakal dijalankan di venue neutral namun keputusan itu diubah mengikut ranking pasukan yang bertanding.
“Pada awalnya kami diberitahu bahawa aksi akan diadakan di venue neutral seperti Malaysia, namun kemudian diumumkan bahawa pasukan dengan ranking tertinggi pula yang menjadi tuan rumah,” tambahnya.
Kini, Iraq dijadualkan bertemu Oman dalam aksi pusingan ke-5 Kelayakan Piala Dunia 2026 benua Asia dengan pemenang akan layak ke pusingan play-off antara benua sebelum layak ke Amerika Syarikat.