Pengendali Laos, Ha Hyeok-jun enggan memikirkan isu yang dihadapi Malaysia menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 9 Oktober ini.
Aksi kali ini menyaksikan tujuh pemain negara tiada dalam kem Harimau Malaya disebabkan hukuman FIFA ke atas mereka dan FAM atas dakwaan dokumen palsu.
Meskipun ada yang menganggap ini sebagai satu kelebihan buat Laos, Hyeok-jun tidak melihat itu sebagai kelebihan buat anak buahnya.
Atas sebab itu, pasukan tersebut akan membuat persiapan rapi tanpa mengira siapa yang bakal menjadi taruhan jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski.
“Sudah tentu kita tahu tujuh pemain Malaysia yang dikenakan penggantungan. Tapi kita tidak akan fokus kepada aspek ini di mana mereka tidak dapat menggunakan pemain terbaik mereka.
“Ia tidak bagus dari segi mental terutama kepada pasukan dan saya tidak memikirkannya. Kita akan membuat persiapan seperti mana kita akan menentang pemain terbaik mereka,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Laos berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Nepal 2-1 dalam aksi sebelumnya pada Jun lalu.