Kelibat jurulatih Negeri Sembilan Antlers, Mohd Shahir menjulang trofi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan dengan memakai jersi Arsenal mencuri perhatian ramai.
Kegembiraan jelas terpancar kepada wajah beliau apabila membantu Negeri Sembilan Antlers muncul juara GP Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ini selepas pasukan itu mengalahkan Johor Tigris di peringkat akhir dengan keputusan 15-7, 15-9.
Walau bagaimanapun, kelibat Shahir menjulang trofi dengan jersi Arsenal yang mencuri perhatian penyokong. Malah, ia turut mendapat ulasan akaun rasmi SepakTakraw League (STL).
“Akhirnya dapat juga (trofi), peminat Arsenal,” katanya dalam satu hantaran di platform rasmi STL.
Video insiden tersebut menjadi bualan ramai peminat sepak takraw di media sosial. Ada yang menganggap tindakan Shahir sebagai tidak profesional.
Ada juga yang menganggap beliau terlampau teruja kerana berjaya membantu Negeri Sembilan Antlers meraih kejuaraan GP STL buat kali pertama untuk tahun 2025.
Ada juga yang secara berseloroh menyangka pentadbir akaun STL ialah peminat Chelsea. Ini yang dinyatakan seorang peminat bernama mup11estagram,”STL pentadbir (peminat) Chelsea ini.”
Negeri Sembilan Antlers kini mengalihkan fokus kepada GP Kuala Lumpur yang berlangsung dari 9 hingga 13 Julai ini.