Jurulatih Palestin Puji Langkah Revolusi Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Palestin, Ehab Abu Jazar memuji langkah revolusi yang diambil pengurusan skuad Harimau Malaya.

Pandangan itu dibuat beliau selepas mengamati kekuatan skuad negara ketika aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ehab mendapati Malaysia memiliki ramai pemain yang datang dari pelbagai latar belakang dalam skuad ini. Ini sama sekali berbeza dengan 24 tahun sebelumnya di mana kesemua pemain skuad negara ialah pemain tempatan.

Ehab percaya seandainya revolusi Harimau Malaya tercetus bertahun-tahun sebelumnya, beliau percaya skuad negara akan memiliki ranking FIFA yang lebih baik.

“Ranking bukan segala-galanya. Kalau Malaysia memiliki pemain-pemain ini sejak dari dulu lagi, ranking mereka akan jadi lebih baik.

“Dan pada ketika itu, ranking mereka lebih baik (daripada Palestin),” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Aksi Malaysia dan Palestin di SSI menyaksikan skuad negara meraih kemenangan 1-0 menerusi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo.

Figueiredo bukan saja mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama menjaringkan gol menentang Palestin dalam tempoh 24 tahun.

Malah, beliau turut mengikut jejak Nizaruddin Yusof dan Mokhtar Dahari sebagai pemain yang menjaringkan gol dalam tiga aksi antarabangsa pertama bersama Harimau Malaya.