Pengendali Tampines Rovers, Noh Rahman enggan memandang enteng cabaran Selangor FC menjelang aksi kedua Kumpulan A Shopee Cup.
Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya tentang siapa pemain Merah Kuning yang berpotensi memberi ancaman kepada pendahulu Singapore Premier League (SPL) itu.
Noh enggan memilih siapa pemain individu Selangor yang mampu mengancam benteng The Stags. Ini kerana pada hematnya secara kolektif, Selangor mampu memberi ancaman kepada mana-mana pasukan.
Atas sebab itu, Noh mahu Tampines Rovers menunjukkan prestasi terbaik jika mahu mencuri mata dari Stadium MBPJ.
“Sudah tentu bila anda bercakap tentang Selangor, saya fikir ada dua atau tiga pemain yang mampu memberi ancaman (kepada Tampines Rovers).
“Tapi itu tidak begitu penting untuk memberi tumpuan kepada seorang atau dua orang pemain. Saya fikir secara kolektif, mereka satu pasukan yang bagus.
“Jadi, sekali lagi, kita hanya fokus kepada diri sendiri dan sudah tentu cuba memberi persaingan (kepada Selangor),” katanya dalam sidang media praperlawanan.
The Staggs berharap dapat melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua kejohanan setakat ini.
Tampines Rovers makin bersemangat selepas mengalahkan Kaya FC-Iloilo dalam aksi pertama Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) baru-baru ini.
Merah Kuning dan The Stags bakal berentap di Stadium MBPJ pada 24 September ini.