Jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam memilih untuk menyalahkan hujan yang menjejaskan persembahan pasukannya.
Skuad kendalian Kim Sang-sik hanya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ketika aksi keempat Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Bintang Pahlawan Emas sebelum itu telah pun mengatasi lawan sama dengan jaringan 3-1 di laman sendiri sekali gus menduduki tangga kedua kumpulan dengan 9 mata.
Sang-sik menganggap kemenangan tipis itu berpunca daripada keadaan cuaca yang amat teruk di Ho Chi Ming City dan menjelaskan aksi pasukannya di Stadium Thong Nhat.
“Cuaca sangat tidak ideal (hujan lebat) dan saya kecewa kita tidak dapat menjaringkan lebih banyak gol.
“Cuaca yang teruk menjejaskan perancangan pasukan seperti yang kami rancang. Akan tetapi, tiga mata penting buat Vietnam,” ujarnya menerusi laporan VNExpress.
Beliau juga melihat faktor kepenantan beraksi dalam cuaca buruk menyebabkan pasukannya tidak berupaya untuk menambah jaringan.
“Isu kami adalah ketepatan pemain. Sesetengah daripada mereka agak terburu-buru dan pada babak kedua, kepenatan berlaku dan menyebabkan apa yang dirancang tidak menjadi,” tambahnya.
Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan 12 mata – 3 mata meninggalkan Vietnam di tangga kedua.