Pengendali Melaka FC, Datuk K. Devan dilaporkan telah meletak jawatan susulan prestasi buruk pasukan itu dalam liga.
Prestasi buruk Melaka pada musim ini bukan saja menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong. Malah, ia turut mengundang keresahan presiden pasukan itu, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad.
Nur Azmi turut memberi bayangan akan membuat rombakan ke atas pasukan itu. Ini termasuk mengubah barisan kejurulatihan sebagai cara mengubah prestasi Melaka.
Kini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan Devan telah mengundur diri menjelang aksi menentang Selangor FC.
Tugas memimpin pasukan untuk aksi Liga Super itu bakal digalas bekas pemain pertahanan kebangsaan, S. Subramaniam.
“Difahamkan Datuk K. Devan sudah melepaskan jawatannya selaku Ketua Jurulatih Melaka FC,” katanya di X.
“Penolong jurulatih, S. Subramaniam bakal kendalikan pasukan untuk aksi Liga Super bertemu Selangor di Stadium MBPJ malam ini.”
Sepanjang bersama Melaka, beliau membimbing pasukan itu bergelar juara Liga A1 Semi-Pro musim 2024/25.
Sekiranya laporan ini menjadi kenyataan, Devan menjadi jurulatih terbaru yang meninggalkan pasukan untuk musim 2025/26.
Selain beliau, Badrul Afzan Razali, Jean-Paul de Marigny, E. Elavarasan dan Katsuhito Kinoshi turut berkongsi nasib sama.