K-League Ikut Saranan Kim Pan-gon
MakanBola
FCS/UHDFC

Saingan K-League akhirnya merealisasikan saranan bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkenaan kuota pemain import.

Sebelum ini, Pan-gon menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung kuota pemain import yang boleh direkrut kelab-kelab liga berkenaan.

Ini kerana beliau merasakan kuota enam pemain import yang ditetapkan K-League menyukarkan pasukan-pasukan Korea bersaing di Asia.

“Kuota pemain import dalam Liga Juara-Juara AFC sudah dimansuhkan. Walau bagaimanapun, K-League masih belum lagi membuat sebarang perubahan.

“Sudah tiba masanya untuk K-League mempertimbangkan isu (kuota pemain import) ini,” katanya.

Kini, Korea Football News melaporkan K-League akhirnya meluluskan cadangan kuota pemain import tanpa had buat kelab-kelab liga berkenaan.

Walau bagaimanapun, kuota pemain import yang beraksi dalam setiap perlawanan turut ditetapkan. Kelab K-League 1 boleh menurunkan lima pemain import dan K-League 2 (empat pemain import).

Perubahan kuota pemain import ini bakal berkuatkuasa untuk musim 2026. Ini dilihat dapat membantu kelab-kelab Korea bersaing di Asia terutama saingan ACLE dan ACL2.