Kapten Chengdu Rongcheng, Tim Chow mengakui terkejut apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih gol awal dalam aksi ketiga Liga Timur ACLE.
Kelebihan tampak memihak kepada Chengdu selaku tuan rumah dengan sokongan padu lebih 39,000 penyokong.
Keyakinan Chengdu tergugat apabila JDT meraih gol awal pada separuh masa pertama menerusi Oscar Arribas. Arribas yang tidak dikawal melepaskan rembatan yang menewaskan Liu Dianzuo.
Dianzuo tewas lagi dalam separuh masa kedua menerusi percubaan pemain tengah warisan Malaysia, Nacho Mendez. Gol bekas kapten Sporting Gijon itu sudah cukup untuk JDT meraih tiga mata penuh.
Chow yang juga bekas pemain Wigan Athletic mengakui tidak menyangka pasukannya dibolosi seawal minit kelima.
“Kita sudah menjangka mereka (JDT) akan memberi banyak tekanan kepada kita. Tetapi saya tak sangka mereka dapat menjaringkan gol lebih cepat (gol Oscar Arribas).
“Tetapi kita tidak menyerah kalah hanya disebabkan kita dibolosi gol awal. Semua orang bekerja keras sepanjang perlawanan,” katanya seperti yang dilaporkan 163.com.
Keputusan ini menyaksikan JDT naik ke tangga kelima Liga Timur ACLE dengan empat mata. Chengdu pula jatuh ke tangga kelapan dengan tiga mata.
Selepas ini, Chengdu akan menentang FC Seoul pada 4 November. JDT pula akan menentang satu lagi wakil China, Shanghai Shenhua pada 5 November.