Karier Rodrigo Holgado Masih Ada Sinar
MakanBola
America de Cali

Karier penyerang kebangsaan, Rodrigo Holgado masih ada sinar meskipun berdepan penggantungan 12 bulan daripada FIFA.

Selepas rayuan yang difailkan FAM dan tujuh pemain negara termasuk Holgado ditolak FIFA, kelabnya, America de Cali dilaporkan dalam proses menamatkan kontrak beliau.

Perkara ini dilaporkan wartawan Colombia, Pipe Sierra. Meskipun FAM merancang membawa kes mereka ke CAS, America de Cali difahamkan akan tetap meneruskan langkah penamatan kontrak.

Ini kerana Holgado masih lagi perlu menjalani penggantungan 12 bulan. Selain itu, beliau juga perlu membayar denda 2,000 Swiss franc (RM10,000).

Meskipun begitu, bekas penyerang Audax Italiano itu masih memiliki talian hayat untuk kariernya. Ini kerana kelab lama Holgado, Coquimbo Unido berminat mendapatkan khidmatnya.

Sepanjang bersama kelab itu pada 2023, penyerang kebangsaan itu meledakkan 19 gol dan mencipta empat bantuan gol.

Sebarang peluang Holgado menyertai Coquimbo Unido dilihat bergantung kepada peluang rayuan FAM dan tujuh pemain negara di CAS.

Ini kerana kelab itu sudah pasti mahu memastikan beliau tidak dibayangi dengan isu penggantungan sebelum menandatangani khidmatnya.