Kata-Kata Awal Taufiq Johari Kemudi Era Baharu Di KBS
UltraSukan
Parlimen Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menyifatkan pencapaian Sukan SEA 2025 sebagai cabaran dan pembakar semangat buat dirinya.

Hal ini dinyatakan beliau selepas Malaysia menamatkan saingan temasya itu di tempat keempat keseluruhan. Kontinjen negara turut meraih 57 emas daripada 231 pingat yang diraih.

Salah satu daripadanya ialah pingat emas acara regu sepak takraw. Kejayaan itu menyaksikan Malaysia meraih dua pingat emas buat kali pertama sejak edisi 1991 di Manila, Filipina.

Taufiq menyifatkan pencapaian ini sebagai pembakar semangat untuk membawa sukan Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Dan kita akan mengangkat sukan negara ini ke arah yang lebih tinggi lagi untuk masa-masa yang akan datang,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Jadi ini satu cabaran untuk saya dan juga satu semangat kekuatan untuk saya pastikan kebajikan atlet dan kontinjen.

“Dan juga bagaimana kita bekerjasama dengan persatuan-persatuan untuk memastikan sukan ini menjadi suatu platform untuk mengharumkan negara Malaysia ke persada dunia.”

Temasya Sukan SEA seterusnya bakal diadakan di Malaysia pada 2027.