Kata-Kata Menyentuh Hati Pengurus Kelantan FT Hadapi Selangor Di Final
UltraSukan
Kelantan Futsal Team

Kata-kata pengurus Kelantan Futsal Team (KFT), Wan Muhammad Firdaus Wan Juhari buat pasukan itu sebelum final Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan 2025 menyentuh hati ramai penyokong.

Kelantan FT bakal turun menentang pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC dalam aksi final yang berlangsung pada malam ini.

Sebelum aksi tersebut, Wan Firdaus mengingatkan para pemain agar cuba memberikan yang terbaik di pentas final.

Ini ditambah dengan pasukan itu berpotensi menjadi prospek pingat negeri Kelantan dalam acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA).

“Ini peluang kita, ambil peluang ini. Final lepas ini buat yang terbaik, biar kita tunjuk boleh (bawa) pingat emas sekali.

“Sebab apa, awak boleh main SUKMA (sebanyak) dua kali lagi. Buat yang terbaik,” katanya dalam satu video Kelantan FT.

Wan Firdaus turut mengingatkan para pemain jika Kelantan FT tewas sekalipun, itu tidak mengapa selagi mana mereka memberikan yang terbaik di atas gelanggang.

Ini kerana pada akhirnya, semua pemain Kelantan FT yang akan beraksi di pentas final membawa nama negeri Kelantan dalam Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan 2025.

“(Lakukan) yang terbaik, Insya Allah kalau ada rezeki. Kalah tak apa, kalah nak buat lagu mana. Cuma kita kena buat yang terbaik, pulun habis.

“Sebab kita bawa nama Kelantan. Kita bukan bawa nama N10, kita bukan bawa nama AUSS. Ini bukan, kita bawa nama Kelantan,” ujarnya.

Sebaik video tersebut disiarkan di Facebook, ramai penyokong memuji ucapan Wan Firdaus yang disifatkan penuh dengan inspirasi.

Seorang penyokong bernama Wan Radzi percaya ucapan tersebut akan menyuntik semangat pemain Kelantan FT. “Teruskan perjuangan, juara tak akan gentar (dan) fokus setiap saat kejayaan menanti,” katanya.

Seorang lagi penyokong bernama Mohd Naiim turut memuji ucapan Wan Firdaus. “Terbaik, Kelantan ramai pemain berbakat. Semoga kejayaan hadir bersama skuad Kelantan FT,” ujarnya.

Selangor B-19 akan menjadi penghalang antara Kelantan FT dan gelaran juara sulung kejohanan tersebut. Pasukan itu turut memiliki Aidil Afiqzam Mohd Nasir sebagai penjaring terbanyak kejohanan.